fb fb fb fb fb

Peruntukan RM2.6 bilion kepada FELDA, FELCRA dan RISDA

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Peruntukan Felda, FELCRA dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) ditingkatkan kepada RM2.6 bilion berbanding RM2.4 bilion pada Belanjawan 2025.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi memperkukuh sektor sawit dan perusahaan getah negara.

"Kerajaan bercadang menaikkan nilai ambang kenaan levi keuntungan luar biasa ke atas buah kelapa sawit bagi Semenanjung Malaysia kepada RM3,150, manakala bagi Sabah dan Sarawak kepada RM3,650.

"Manakala struktur julat harga pasaran dan kadar duti eksport minyak sawit mentah disemak semula mulai 1 November 2024. Layanan semasa bagi eksport minyak sawit mentah dari Sabah dan Sarawak juga akan dikekalkan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen.

Insentif galakan kepada pekebun kecil menanam semula sawit juga diteruskan bagi menggantikan sawit tua dengan peruntukan RM100 juta.

Malaysia sebagai antara pengeluar minyak sawit terbesar dunia punyai potensi menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF) daripada sisa kilang kelapa sawit.

Sehubungan itu Petronas akan menjalin kerjasama dengan SD Guthrie dan FGV Holdings Berhad bagi penghasilan bahan api penerbangan mampan (SAF) daripada sisa kilang kelapa sawit.

Perkara itu sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan mempertahan industri sawit diperhebat bagi menangkis salah tanggap Eropah dan meningkatkan tahap kelestarian sawit dengan peruntukan RM65 juta.

Berkenaan perusahaan getah Program Galakan Pengeluaran Lateks Pekebun Kecil bawah RISDA akan dilaksanakan secara geran padanan RM60 juta.

"Ini sebagai galakan pekebun kecil getah menghasil getah lateks bagi memenuhi keperluan industri.

"Ladang-ladang getah milik persendirian yang terbiar akan diusahakan semula dengan peruntukan RM20 juta. Ikhtiar ini dilaksanakan melalui pendekatan pajakan tanah, iaitu tanah terbiar akan dipajak untuk diusahakan semula dan keuntungan dibahagikan mengikut persetujuan antara pekebun kecil, agensi pelaksana serta pemilik tanah," katanya.

Sementara itu RM10 juta bagi melaksanakan mitigasi dan kawalan penyakit daripada serangan perosak seperti kulat pestalotiopsis, ulat bungkus dan kulapuk jelaga yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI