
KUALA TERENGGANU, 5 Oktober – Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada hujung Oktober ini.
- Penyelarasan bersama agensi keselamatan dan persiapan dilakukan di semua 508 sekolah negeri.
- PPD dan sekolah 'hotspot' diarahkan memindahkan perabot, peranti ICT dan aset sekolah ke tingkat atas.
- KPM melalui Bahagian Pembangunan menyediakan peruntukan awal bagi penyelenggaraan tandas dan bilik bagi PPS.
- Sekolah menengah diusahakan tidak dijadikan PPS supaya peperiksaan penting seperti SPM dan STPM berjalan lancar.
Langkah awal diambil melibatkan penyelarasan bersama pelbagai agensi keselamatan serta persediaan di kesemua 508 sekolah di seluruh negeri.
Pengarah JPNT Kamsah @ Kamal Mohamed berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah-sekolah, terutamanya di kawasan ‘hotspot’, telah diarahkan untuk memindahkan perabot, peranti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta aset sekolah ke tingkat atas.
Malah, Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Bahagian Pembangunan turut menyediakan peruntukan awal bagi penyelenggaraan tandas dan bilik yang akan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).
“Kalau ikut daripada ramalan Jabatan Meteorologi dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), memaklumkan monsun akhir Oktober ini.
“Jadi segala langkah siap siaga di peringkat jabatan telah pun kita laksanakan dan telah pun dititiskan peringatan-peringatan kepada guru, kepada pelajar, pihak sekolah dan juga kepada ibu bapa. Insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir menyempurnakan Majlis Minum Petang Sambutan 100 Tahun Pengakap Negeri Terengganu di Kuala Ibai, Kuala Terengganu.
Sementara itu, mengulas mengenai penggunaan sekolah sebagai PPS, beliau berkata pihaknya cuba mengelakkan penglibatan sekolah menengah.
Katanya, langkah itu bagi memastikan kelancaran persediaan serta perjalanan peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal bermula pada 23 November ini serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Walau bagaimanapun, bagi 352 sekolah rendah di Terengganu, pihak sekolah diminta memberikan kerjasama penuh sekiranya menerima arahan daripada Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah.
“Cuma di peringkat sekolah-sekolah rendah memang sudah diberi taklimat dan pemakluman awal bahawa sekiranya ada arahan daripada Pengerusi Bencana Daerah atau negeri, pihak sekolah kena beri kerjasama sepenuhnya.
“Tak perlu menunggu arahan daripada jabatan untuk memastikan pusat pemindahan banjir dibuka dan memberi kemudahan kepada penduduk yang terlibat,” katanya.
Untuk rekod, sebanyak 85 sekolah di Terengganu terjejas akibat tiga gelombang banjir pada tahun lalu.