
JOHOR BAHRU, 8 Mei- Sejumlah RM107.34 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan jalan-jalan Pesekutuan di seluruh Johor, sepanjang tahun ini.
Daripada jumlah tersebut, RM5.24 juta khusus, untuk penyelenggaraan laluan FT17, Pasir Gudang.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kerja naik taraf laluan FT17 melibatkan pelebaran jalan sepanjang 12.5 kilometer, serta baik pulih struktur infrastruktur, menerusi Fasa 2B dan Fasa 3.
(Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi)
Fasa 2B kini sedang dibina, melibatkan Persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting, ke Persimpangan Pasir Gudang, dan dijangka siap Oktober 2025.
Manakala Fasa 3 sedang dirancang, melibatkan Persimpangan Bertingkat Perling, ke susur Lebuhraya Utara Selatan.
“Memang ada kerja-kerja penyelenggaraan dan juga kerja untuk melebarkan jalan, yang telah diluluskan, untuk beberapa tapak di Johor ini.
“Kita harap dapat mengurangkan kesesakan, kerana kalau nak kata tidak berlaku, tak pastilah, tapi sudah pastinya akan kurangkan kesesakan kerana lebih lebar banyak kenderaan boleh lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa meninjau perkembangan kerja naik taraf dan penyelenggaraan FT 17, di sini hari ini.