fb fb fb fb fb

Peruntukan RM1 juta naik taraf Kampung, Sekolah Angkat MADANI di Tangga Batu

Ketua Pengarah Atom Malaysia, Noraishah Pungut / Foto RTM

TANGGA BATU, 2 November - Lebih RM1 juta diperuntukkan Jabatan Tenaga Atom Malaysia (ATOM) bagi pelaksanaan projek Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat MADANI di Tangga Batu, Melaka.

Peruntukan itu memanfaatkan Kampung Tangga Batu Kechil, Kampung Bukit Salleh dan Kampung Paya Luboh, termasuk Sekolah Kebangsaan Tangga Batu sebagai sekolah angkat.

Menurut Ketua Pengarah Atom Malaysia, Noraishah Pungut, peruntukan itu bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan komuniti.

Antaranya termasuk pembinaan jalan kampung baharu, telaga tiub, dewan serba guna terbuka serta pemasangan sistem solar.

"Telaga tiub ini penting jika berlaku kemarau ataupun tiada air. So, kampung ini telah disediakan dari segi fasiliti tersebut (bagi) memberi manfaat kepada penduduk kampung. Di samping kepada pihak masjid sendiri kalau ada aktiviti besar-besaran, tak ada masalah air lagilah di situ. "

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan Tangga Batu menerima peruntukan kira-kira RM100 ribu bagi penyediaan kemudahan TV Digital, kipas baharu serta beberapa kemudahan lain untuk keselesaan pelajar.

Noraishah ditemui media pada Majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani dan Sekolah Angkat MADANI di Kampung Tangga Batu Kechil.

EMMI NORALIZA ADNAN