
KUALA LUMPUR, 28 Julai – Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memperbaharui aset sistem bekalan air negara, sekali gus memastikan bekalan air yang lebih mampan kepada pengguna.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Program Penggantian Paip Kritikal ini memberi keutamaan kepada penggantian paip simen asbestos (AC) serta paip kritikal lain yang telah melepasi jangka hayat reka bentuk.
“Program itu akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tempoh 2026 hingga 2030, dengan sasaran menggantikan kira-kira 1,800 kilometer paip kritikal di seluruh negara,” katanya ketika menjawab soalan daripada Senator Datuk Wu Him Ven di Dewan Negara, hari ini.
Tambahnya, semua kerja akan dilaksanakan mengikut peraturan serta keperluan keselamatan yang ditetapkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).
“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan memastikan setiap operator bekalan air melantik kontraktor yang kompeten, manakala kontraktor diwajibkan mematuhi prosedur kerja selamat, termasuk penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE), kaedah kerja yang meminimumkan pelepasan habuk asbestos serta tatacara pengendalian dan pelupusan bahan tersebut mengikut peraturan yang ditetapkan”, katanya.
Beliau berkata, menerusi pelaksanaan program berkenaan, kerajaan komited memperkukuh daya tahan sistem bekalan air negara melalui pembaharuan aset secara berperingkat, mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW) serta memastikan setiap kerja penggantian paip dilaksanakan mengikut standard keselamatan yang tinggi demi melindungi kesihatan rakyat.