CALIFORNIA, 17 November- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra, di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC yang berlangsung di San Francisco.
Menerusi catatan di facebook, Perdana Menteri berkata berkata Presiden Peru memohon Malaysia mempertimbangkan pembukaan sebuah pejabat di Peru untuk menjadi pemudah cara pensijilan halal bagi produk di negara tersebut.
Beliau berkata Presiden Boluarte turut mempelawanya ke Peru tahun depan, sempena Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 yang akan dipengerusikan negara itu.
"Dalam pertemuan ini, saya juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak berkuasa Peru kerana menyelamatkan dan membantu 43 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan eksploitasi buruh di Peru baru-baru ini", katanya.
Selain itu, kedua pemimpin turut membincangkan aspek peluang kerjasama ekonomi, menyentuh isu pemerkasaan wanita dan perubahan iklim.
"Malaysia juga menyokong usaha Peru untuk mewujudkan status Perkongsian Pembangunan dengan ASEAN", katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
PM jumpa Presiden Vietnam, pensijilan halal antara tumpuan