fb fb fb fb fb

Pertumbuhan ekonomi perlu selari peningkatan gaji - PM

FOTO FACEBOOK Anwar Ibrahim

SUBANG, 21 Disember- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi harus seiring dengan peningkatan gaji pekerja bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin.

Menurut beliau, langkah penyelarasan gaji yang telah dilaksanakan dalam sektor perkhidmatan awam wajar dicontohi sektor swasta meskipun ia melibatkan implikasi kewangan yang besar.

"Soal kadar upah sangat penting bagi saya. Pertumbuhan ekonomi itu harus selari dengan peningkatan kadar upah, namun perkara ini kurang berlaku di Malaysia.

"Jadi, mesej ini perlu disampaikan bukan sahaja kepada kerajaan, tetapi juga kepada sektor swasta terutama industri-industri yang berjaya (mencatatkan keuntungan besar)," katanya pada sidang media di sini hari ini bagi menjawab pelbagai soalan berkaitan kerajaan dan isu semasa.

Beliau turut mengingatkan bahawa prestasi perkhidmatan awam perlu meningkat, lebih cekap dan telus, sekali gus mengelakkan rasuah, penyelewengan atau ketidakcekapan.

"Kita tekankan aspek ini dengan keras, tetapi jika upah tidak dinaikkan, bagi saya, itu kurang adil," tambahnya.

Mengulas mengenai peruntukan banjir, Perdana Menteri menegaskan bahawa agihan peruntukan kepada negeri yang terkesan itu dilakukan secara adil tanpa mengira kecenderungan politik.

Anwar berkata Kerajaan Persekutuan turut menambah peruntukan kepada negeri-negeri terjejas dengan mengambil kira kos kerosakan yang tinggi akibat bencana tersebut.

Menurut beliau bantuan disalurkan terus kepada rakyat dan kerajaan pusat juga membiayai secara langsung kos projek berkaitan.

"Bantuan ini bukan melalui wakil rakyat di kampung atau ketua parti, tetapi terus kepada rakyat yang terkesan. Saya fikir isu politik adalah soal pilihan raya, tetapi pembangunan untuk rakyat yang terjejas akibat banjir, kemiskinan dan sawah padi perlu diberi perhatian," katanya lagi.

SITI AISHAH MD ISA