fb fb fb fb fb

Pertubuhan Peladang Negeri Selangor (PPNS) raih keuntungan bersih sebanyak RM2.87 juta

SHAH ALAM, 6 September- Pertubuhan Peladang Negeri Selangor (PPNS) meraih keuntungan bersih sebanyak RM2.87 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Pencapaian itu adalah peningkatan sebanyak 47% berbanding keuntungan bersih dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengucapkan tahniah kepada PPNS atas pencapaian yang membanggakan itu walaupun berdepan suasana ekonomi mencabar pada tahun lepas.


(Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika berucap pada Majlis Perasmian
Mesyuarat Agung Tahunan PPNS kali ke-45 di Shah Alam malam tadi)

"Saya juga difahamkan PPNS juga berjaya meningkatkan nilai bersih pertubuhan ini sehingga mencecah RM400 juta dengan isipadu perniagaan melebih RM40 juta serta mengekalkan audit sifar selama 3 tahun berturut-turut. Ini dari tahun 2019 hingga tahun 2021, sekali gus menggambarkan pertubuhan telah berjaya melaksanakan tadbir urus pengurusan dan kewangan yang baik dan seharusnya dicontohi oleh rangkaian pertubuhan peladang lain," katanya ketika berucap berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPNS kali ke-45 di Shah Alam, Selangor malam tadi.

Turut sama hadir Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) Datuk Zamri Yaakob dan Pengerusi PPNS, Datuk Dr Abd Rahman Bakri.

Usaha PPNS melaksanakan transformasi termasuk mempelbagaikan perniagaan asas tani membolehkan pertubuhan berkenaan terus melakar kejayaan membanggakan.

Datuk Dr Abd Rahman Bakri berkata, biarpun berdepan suasana ekonomi mencabar, PPNS mengharunginya dengan kekuatan gerakan, pengurusan modal dan kewangan baik serta berdisiplin dalam kawalan kos.

Media Baharu