fb fb fb fb fb

Pertahan hubungan baik Malaysia-Indonesia

Majlis Resepsi Diplomatik sempena Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ke-79 di Kuching

KUCHING, 19 September- Hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia merupakan lambang persaudaraan, persefahaman dan kerjasama yang terjalin sejak sekian lama.

Sebagai generasi penerus, kelestarian hubungan baik itu perlu dipertahankan dengan rasa hormat, kerjasama dan nilai-nilai rumpun yang sama.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, hubungan negeri itu dengan Indonesia juga semakin kukuh apabila negara republik itu memindahkan ibu kotanya ke wilayah Kalimantan Timur yang dikenali Ibu Kota Nusantara (IKN) atau Nusantara.

"Kerjasama Nusantara-Sarawak dapat wujud di semua bidang yang berpotensi dari segi ekonomi, sosial-budaya, perlindungan kewarganegaraan seperti kepada kanak-kanak dengan mewujudkan Pusat Pembelajaran Komuniti di ladang-ladang negeri ini," katanya dalam teks yang dibacakan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Resepsi Diplomatik sempena Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ke-79 di sini.

Dalam pada itu Fatimah turut memaklumkan kementeriannya akan membuat lawatan ke Jakarta dan Bandung pada 23 hingga 27 Jun tahun depan.

Lawatan berkenaan dilihat akan membantu Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak dalam merangka strategi memperkasa wanita negeri itu selain memupuk usahawan wanita yang kompetitif dan lestari.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI