fb fb fb fb fb

Persidangan Kesihatan Global APRU 2025: Bincang cabaran kesihatan global

Datuk Seri Dr. Dzulkefly berucap merasmikan APRU 2025 di UM hari ini / RTM

 

KUALA LUMPUR, 29 Oktober — Malaysia terus memperkukuh kedudukannya di pentas antarabangsa dalam memperjuangkan kesihatan dan kelestarian sejagat apabila menjadi tuan rumah kepada Persidangan Kesihatan Global APRU 2025, yang berlangsung di Universiti Malaya bermula hari ini hingga 31 Oktober.

Persidangan anjuran bersama Universiti Malaya (UM) dan Association of Pacific Rim Universities (APRU) itu menghimpunkan lebih 200 peserta antarabangsa daripada 18 ekonomi rantau Asia Pasifik, termasuk penyelidik, penggubal dasar, pengamal kesihatan serta golongan muda, bagi membincangkan cabaran kesihatan global terhadap isu kesihatan planet.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dalam ucapannya ketika merasmikan persidangan berkata, kesihatan manusia dan kesihatan planet adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan.

“Kita sedang mengubah hala tuju sistem kesihatan negara agar lebih pencegahan, berdaya tahan dan saksama berasaskan prinsip ‘seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat’. Malaysia percaya bahawa masyarakat sihat bergantung pada alam sekitar yang sihat, dan kedua-duanya perlu dipelihara bersama,” katanya.

Beliau turut menjelaskan antara inisiatif utama yang sedang dilaksana kerajaan termasuk menghijaukan kemudahan kesihatan negara, memperkukuh perlindungan kesihatan sejagat (UHC), meningkatkan ketahanan terhadap perubahan iklim, serta merapatkan jurang kesihatan di kawasan luar bandar dan komuniti terpinggir.

Malaysia turut memperkenalkan kepada dunia Pelan Tindakan Kesihatan Planet Kebangsaan (NPHAP), yang dibangunkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan sumbangan ilmuwan daripada Universiti Malaya.

Pelan ini menjadi antara rangka kerja pertama seumpamanya di peringkat global yang menggabungkan aspek kesihatan, alam sekitar dan pembangunan mampan.

Persidangan tiga hari itu dijangka menghasilkan rangka tindakan bersama antara negara anggota APRU dalam memperkukuh keadilan kesihatan sejagat, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN