KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Persiapan bagi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025) berjalan lancar dengan pelbagai acara telah disusun membabitkan penyertaan agensi dan komuniti dari seluruh negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dua mesyuarat Jawatankuasa Induk bagi Hari Kebangsaan telah diadakan, manakala mesyuarat bagi Hari Malaysia pula dijadual berlangsung minggu hadapan bagi memuktamadkan semua perancangan.
“Insya-Allah, semua berjalan dengan baik dan lancar dari segi perancangan dan penyertaan.
Pihak kementerian masih mendapat permohonan daripada pelbagai pihak untuk turut serta dalam perbarisan dan kita akan cuba masukkan apa yang boleh kerana tempoh masanya terhad,” katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri Program Pentarama Homecoming sempena HKHM 2025 di Sekolah Kebangsaan Bangsar, di sini, hari ini.
Menurut Datuk Fahmi, kementeriannya turut memberi tumpuan kepada penyediaan program sampingan bagi menjadikan sambutan lebih menyeluruh, menyeronokkan dan mesra keluarga.
“Bagi para pengunjung, kita telah sediakan banyak acara sampingan supaya pada hari sambutan bukan sekadar datang untuk melihat perbarisan dan persembahan.
Mereka juga boleh menikmati pelbagai program menarik yang diadakan di sekitar Putrajaya,” katanya.
Lagu tema rasmi juga telah dimainkan dalam beberapa acara, memberi gambaran sambutan kali ini akan lebih meriah dalam suasana harmoni dan bersatu hati.
Sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan berlangsung pada 31 Ogos di Putrajaya, manakala Hari Malaysia disambut di Pulau Pinang pada 16 September.
Orang ramai disaran merujuk laman sesawang rasmi, www.merdeka360.my, untuk maklumat terkini mengenai jadual program, aktiviti komuniti dan penyertaan awam.