KUALA LUMPUR, 8 Julai- Rakyat perlu menjunjung amanat Yang di-Pertuan Agong mengenai perpaduan ketika bertitah sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan semalam.
Amanat yang bertepatan dengan masa itu menggambarkan perpaduan sebagai teras kekuatan demografi dan kependudukan tanah air.
Penganalisis Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, amanat itu juga satu peringatan agar perpaduan dan keharmonian terbina selama ini dipertahan.
Katanya, perpaduan tidak boleh dikompromi dalam konteks keunikan negara yang berteraskan Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.
"Asasnya adalah sejauhmana kita mampu untuk memastikan perpaduan tidak tergugat, persengketaan tidak akan terbawa-bawa sehingga menjejaskan keharmonian, kedamaian, keamanan dan juga keselamatan dalam negara kita.
"Merentasi mana-mana agama, ras, etnik, gender, fahaman politik ataupun persempadanan negeri, merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak", katanya.
"Perpaduan antara etnik dan juga intra etnik, antara etnik juga dianggap penting untuk memastikan nilai muhibah dan kesejahteraan dapat terus dipertahankan supaya kita dapat memacu kecemerlangan yang lebih baik bukan sahaja dalam negara tetapi juga di peringkat serantau dan juga di peringkat global.
Beliau berkata demikian kepada RTM.