KUALA LUMPUR, 7 Julai – Majikan di Malaysia kini tidak lagi perlu menunggu lebih sebulan untuk mendapatkan tenaga kerja asing berkemahiran tinggi apabila kerajaan memperkenalkan sistem permohonan baharu yang mempercepatkan proses kepada hanya 10 hari.
Melalui pelaksanaan sistem bersepadu Xpats Gateway yang mula beroperasi pada 1 Julai lalu, proses permohonan yang sebelum ini memakan masa sehingga 40 hari kerana melibatkan pelbagai agensi, kini diselaraskan menerusi satu platform digital yang lebih cekap dan mesra pengguna.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata inisiatif tersebut memudahkan urusan majikan dengan menghapuskan keperluan untuk mengakses tiga sistem berasingan serta menghantar dokumen berulang kali ke agensi berbeza.
“Dulu majikan perlu berurusan dengan tiga sistem berlainan. Kini, mereka hanya perlu memohon melalui satu portal sahaja – Xpats Gateway. Ini menjimatkan masa dan meningkatkan kecekapan,” katanya pada sesi taklimat media di ibu negara.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa), Dr. Mohd Shaharin Umar serta Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim / Foto Bernama
Menurut Steven Sim, kelulusan daripada Jabatan Tenaga Kerja dan MYFutureJobs kini boleh diproses serentak dalam tempoh 10 hari menerusi sistem baharu itu.
Beliau turut memaklumkan, piagam pelanggan baharu membolehkan majikan memantau status permohonan secara masa nyata, dengan dokumen sokongan diperoleh terus daripada sistem rasmi bagi mengurangkan risiko penipuan.
Dalam minggu pertama pelaksanaan, lebih 100 permohonan telah diterima melalui Xpats Gateway.
“Langkah ini berpotensi menjimatkan kos operasi majikan sehingga 90 peratus, iaitu hampir RM500 juta,” jelasnya.
Setakat ini, jumlah ekspatriat yang memegang pas pekerjaan di Malaysia mencecah 138,000 orang, menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya.
Trend tersebut mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara serta keperluan industri tempatan terhadap tenaga kerja asing berkemahiran tinggi.
Sistem Xpats Gateway merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), dan TalentCorp.