PUTRAJAYA, 11 Oktober- Permohonan sebagai pemerhati bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dibuka bermula hari ini dan akan ditutup pada 21 Oktober.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak menerusi kenyataan memaklumkan, permohonan sebagai pemerhati yang mewakili organisasi adalah tertakluk pada syarat-syarat yang ditetapkan.
“Pemerhati dibenarkan untuk membuat pemerhatian bagi proses-proses pilihan raya seperti proses penamaan calon, berkempen, mengundi awal, proses mengundi dan pengiraan undi serta penjumlahan undi sehinggalah pengisytiharan keputusan pilihan raya.
“SPR mengingatkan mereka yang berminat untuk menyertai program ini supaya mengemukakan permohonan sebelum tarikh tutup permohonan," katanya.
Mereka yang ingin memohon boleh melayari portal SPR di alamat https://www.spr.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat lanjut dan memuat turun borang permohonan.
(Permohonan jadi pemerhati PRU15 dibuka bermula hari ini)