Permohonan Dana Kandungan Kreatif FINAS 2026 dibuka September

Datuk Azmir Saifuddin Mutalib (berdiri) sedang mendengar pandangan pada Sesi Libat Urus Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Bersama Penggiat Industri, di sini. / Foto RTM

PETALING JAYA, 24 Ogos – Permohonan Dana Kandungan Kreatif (DKK) 2026 Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan dibuka September ini bagi memperkasa penghasilan kandungan tempatan untuk pasaran dalam dan luar negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dana menekankan penghasilan karya berkualiti, pembangunan harta intelek baharu dan penerbitan bersama antarabangsa.
  • Idea unik dan berkualiti menjadi kriteria utama pemilihan penerima dana.
  • Dasar Filem Negara 2026-2035 hampir selesai; fokus kepada pembiayaan alternatif, akses pasaran, teknologi termasuk AI dan perlindungan IP.
  • Penyelarasan kementerian, agensi dan penggiat industri penting untuk menjadikan Malaysia hab filem dan kandungan kreatif unggul di Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, dana itu memberi penekanan kepada penghasilan karya berkualiti, harta intelek (IP) baharu serta kerjasama penerbitan bersama antara Malaysia dengan negara luar.

Menurutnya, idea yang unik dan berkualiti turut menjadi antara pertimbangan penting dalam pemilihan penerima dana kali ini.

“Dengan adanya dana ini, kita berharap dapat membantu menghasilkan filem dan drama yang berkualiti tinggi, bukan sahaja untuk tontonan di Malaysia, malah berpotensi menembusi pasaran antarabangsa.

“Dana ini juga dapat membantu pembuat filem dan penggiat industri menghasilkan karya yang lebih kreatif, segar dan berbeza daripada kebiasaan,” katanya.

Beliau ditemui pada Sesi Libat Urus Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Bersama Penggiat Industri: Dasar Filem Negara 2026-2035 di Menara FINAS Damansara, disini, hari ini.

Antara fokus DKK 2026 ialah penerbitan bersama antarabangsa, termasuk kerjasama dengan negara ASEAN yang dijangka membuka lebih banyak peluang kepada industri kreatif tempatan.

Dalam pada itu, Datuk Azmir berkata, Dasar Filem Negara (DFN) 2026-2035 kini berada di peringkat akhir penyediaan dan dijangka dilancarkan tahun ini selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri.

Dasar itu memberi tumpuan antaranya kepada pembiayaan alternatif, peluasan akses pasaran, penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), pembangunan tenaga kerja dan perlindungan harta intelek.

Jelasnya, penyelarasan antara kementerian, agensi dan penggiat industri penting bagi memastikan pembangunan filem serta kandungan negara bergerak dalam hala tuju yang sama.

“Dengan hala tuju yang selaras dan kerjasama yang bersepadu, kita berharap dalam tempoh 10 tahun akan datang, Malaysia dapat merealisasikan hasrat untuk menjadi sebuah hab filem dan kandungan kreatif terunggul di Asia,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.