fb fb fb fb fb

Perlombongan NR-REE, Perak mohon perluas operasi

GERIK, 20 Julai- Perak akan memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk memperluas kawasan operasi perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) di Kenering, di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata ketika ini projek tersebut beroperasi di atas tanah seluas 216 ekar melibatkan pengekstrakan mineral NR-REE menggunakan kaedah 'In-situ leaching'.

Jelas beliau, kebenaran diterima sebelum ini hanya membenarkan aktiviti perlombongan dilakukan di luar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK).

"Kita pun sekarang akan memohon kepada kementerian untuk membolehkan negeri Perak ini diberi kebenaran memperluaskan kawasan operasi ini.

"Sebab kawasan operasi kita itu di luar kawasan hutan simpan yang kena dipatuhi kerana ada satu 'standard instruction' iaitu tidak boleh menjalankan perlombongan dalam kawasan hutan simpan, tapi di Perak lebih 5,000 hektar lagi berada di luar hutan simpan," katanya.

(Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad)

Beliau berkata demikian dalam sidang media Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2023, di sini hari ini.

Projek perintis perlombongan NR-REE memulakan operasi Oktober lalu setelah memperoleh kelulusan perundangan dan kebenaran beroperasi.

Pada program tersebut, Menteri Besar turut menyempurnakan Majlis Pelepasan (flag off) produk Perak ke Singapura.

Media Baharu