LANGKAWI, 8 Februari- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memperkukuh inisiatif pengurusan individu hilang upaya menerusi bantuan peralatan program rehabilitasi psikologi.
Pelaksanaannya bermula di Kedah melibatkan tiga hospital, Hospital Sultanah Maliha Langkawi, Hospital Kulim dan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pertubuhan itu menyasarkan penerima faedah Perkeso dan pesakit psikiatrik yang sedang dalam rawatan.
"Sumbangan CSR kepada beberapa hospital dalam kita melaksanakan salah satu inisiatif membantu pencarum Perkeso yang mengalami hilang upaya akibat masalah psikososial untuk kembali bekerja," ujar beliau ketika ditemui media selepas menyerahkan sumbangan peralatan memasak kepada Hospital Sultanah Maliha di Langkawi.
Hospital Kulim pula menerima sumbangan pembinaan tempat mencuci kereta, manakala Hospital Sultan Abdul Halim menerima peralatan menjahit.