Perancangan harta patuh syariah elak pertikaian waris

Foto Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

GOMBAK, 13 Jun – Perancangan harta secara patuh syariah perlu dijadikan budaya dalam kalangan masyarakat Islam bagi mengelakkan pertikaian waris serta memelihara keharmonian institusi keluarga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hibah sebagai instrumen fleksibel dan praktikal untuk pemindahan aset jelas serta tersusun semasa hidup.
  • Perancangan harta perlu dilakukan oleh semua yang bertanggungjawab keluarga, bukan hanya golongan berada.
  • Generasi muda perlu dikuasakan dalam syariah, undang-undang dan kemahiran; teknologi digital dan AI mempercepat penyelesaian perancangan harta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata hibah merupakan antara instrumen pengurusan harta Islam yang fleksibel dan praktikal kerana membolehkan pemilik merancang pemindahan aset secara lebih jelas dan tersusun ketika masih hidup.

Menurut beliau, masih ramai masyarakat beranggapan perancangan harta hanya penting kepada golongan berada, sedangkan ia wajar dilakukan oleh setiap individu yang mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga.

“Bayangkan berapa banyak aset seperti tanah, rumah, wang simpanan dan pelbagai bentuk pelaburan yang dapat dimanfaatkan dengan segera sekiranya perancangan harta dibuat lebih awal, berbanding tertangguh akibat proses pentadbiran yang panjang atau pertikaian dalam kalangan waris.

“Atas sebab itu, budaya perancangan harta perlu terus diperkasakan.

“Masyarakat perlu diberikan kefahaman bahawa perancangan harta bukan hanya untuk golongan berada atau mereka yang memiliki aset bernilai jutaan ringgit.

“Sebaliknya, sesiapa sahaja yang mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga perlu memikirkan soal perancangan harta sebagai satu amanah yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Beliau berucap demikian merasmikan Konvensyen Hibah Antarabangsa (KOHI) 2026 yang dianjurkan Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Shariah Lawsoc Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini.

Dalam pada itu, Dr. Zulkifli berkata generasi muda perlu dipersiapkan sebagai pelapis institusi kewangan Islam dan pengurusan harta dengan penguasaan ilmu syariah, undang-undang serta kemahiran menghadapi cabaran semasa.

“Masa depan institusi kewangan Islam dan pengurusan harta Islam berada di tangan generasi pelapis ini.

“Mereka bukan sahaja perlu memahami prinsip syariah dan undang-undang, malah perlu bersedia menghadapi cabaran semasa.

“Dengan perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), saya yakin kita mampu mempercepat dan memperkemaskan usaha menawarkan penyelesaian kepada masyarakat, khususnya dalam aspek perancangan harta,”katanya lagi.

Konvensyen berkenaan menghimpunkan lebih 1,400 peserta terdiri daripada Ketua Hakim Syarie, Hakim-Hakim Syarie, Peguam Sivil dan Peguam Syari dan para akademik dari seluruh negara serta penyertaan dari Brunei, Singapura dan Indonesia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.