fb fb fb fb fb

Peranan bapa diperkukuh melalui pakej KASIH MADANI 2.0

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri (tiga dari kiri) dan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (empat dari kanan) pada Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2025 di Putrajaya, hari ini / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 9 November - Pakej KASIH MADANI 2.0 yang dilancarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini, memberi tumpuan terhadap peranan bapa dalam membina institusi keluarga sejahtera.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Modul Kebapaan bawah pakej itu menekankan kepentingan tanggungjawab dan kepimpinan bapa dalam institusi keluarga, sekali gus memupuk kesedaran bahawa kesejahteraan rumah tangga tidak hanya terletak pada bahu golongan ibu semata-mata.

"Kita mahu mereka (bapa) memainkan peranan penting dalam kepimpinan. Jika suami hanya mengharapkan isteri untuk melakukan semua tugas penting, hal ini tidak betul kerana memerlukan tanggungjawab bersama. Bukannya tentang bertukar peranan, tetapi tentang mengimbangi peranan."

"KPWKM dengan kerjasama LPPKN akan terus memastikan tiada keluarga tercicir dalam arus pembangunan negara. Kita sedar dunia hari ini penuh cabaran sosial dan emosi. Oleh itu, melalui Agenda Nasional KASIH Keluarga Negara bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),  kami turut memberi tumpuan terhadap pendidikan keibubapaan dan intervensi sosial supaya keluarga di Malaysia kekal seimbang dan berdaya tahan," katanya ketika ditemui pada Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2025, yang dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Jelasnya, pakej berkenaan berfokus terhadap aspek nilai murni dan pembentukan sahsiah dalam kalangan ibu bapa.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Nancy berkata pakej tersebut turut merangkumi Modul Romantika Cinta untuk pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.

Ia turut membantu pasangan yang belum dikurniakan zuriat melalui program kesedaran dan rawatan kesuburan, khususnya kepada golongan suami.

Pakej KASIH MADANI 2.0 dibangunkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan penglibatan para akademik serta pakar rujuk bidang kekeluargaan termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu, katanya KPWKM akan memanfaatkan peruntukan sebanyak RM4.1 bilion menerusi Belanjawan 2026 bagi melaksanakan pelbagai inisiatif lain yang berimpak tinggi.

EMMI NORALIZA ADNAN