IPOH, 1 Disember- Kerajaan Perak bercadang untuk menyenaraikan tanah jerlus ke dalam skop bantuan sebagai salah satu kejadian bencana.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Jawatankuasa Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) di peringkat negeri dan Persekutuan.
Jelasnya, perkara tersebut memerlukan kelulusan di peringkat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sehingga kini ia masih belum diwartakan sebagai kategori bencana.
" Namun begitu, permohonan bantuan masih boleh dihantar untuk diproses dengan disertakan bersama Laporan Teknikal daripada Jabatan Pertanian duntuk permohonan bagi bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP). Kelulusan permohonan adalah tertakluk kepada Jawatankuasa Teknikal Induk di peringkat negeri dan kementerian," katanya.
Tambahnya, di peringkat Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), beberapa langkah telah dan akan diambil, antaranya program perataan tanah sawah.
Mohd Zolkafly berkata demikian dalam sesi soal jawab dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan sawah seluas 595 hektar di daerah Kerian, tidak dapat dituai musim ini kerana masalah tanah jerlus yang menyebabkan pesawah mengalami kerugian.
Tanah jerlus merupakan salah satu fenomena yang mengakibatkan kerugian kepada pesawah, apabila hasil tanaman tidak boleh dituai dengan menggunakan jentera berat disebabkan tayar yang tenggelam akibat tanah lembut.