fb fb fb fb fb

Penyalahgunaan dadah ancaman nyata terhadap maruah bangsa

Foto Facebook Kementerian Dalam Negeri

JITRA, 25 Julai - Penyalahgunaan dadah bukan sekadar isu jenayah semata-mata, malah ia merupakan ancaman nyata kepada maruah bangsa dan masa depan negara.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, negara berdepan dengan sindiket yang terancang, memiliki dana, penyokong dan rangkaian luas. 

Tegasnya, kerajaan tidak gentar dengan sindiket tersebut, malah hadir dengan iltizam politik, keberanian moral dan komitmen berterusan untuk melawan habis-habisan.

Beliau menekankan bahawa pendekatan kerajaan bukan hanya bersifat menghukum, tetapi berfokus memutuskan kitaran ketagihan terutama dalam kalangan kelompok miskin dan rentan yang sering menjadi mangsa utama.

Beliau berkata sinergi antara Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mesti terus diperkukuh melalui pendekatan menyeluruh dan bersepadu, merangkumi pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan.

Katanya, kerajaan beriltizam menoktahkan ancaman dadah secara tuntas bukan sekadar mengawal, sebaliknya membasmi hingga ke akar umbi. 

Jelasnya, perjuangan itu bukan mudah, tetapi ia mesti diteruskan demi generasi masa depan dan demi negara yang bebas daripada belenggu najis dadah.

Datuk Seri Anwar berucap demikian pada Majlis Perasmian Hari Antidadah 2025 di Dataran Bandar Darul Aman, Jitra, Kedah.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

ROSLINA BINTI DIN