fb fb fb fb fb

Pengurusan syarikat bawah YPB perlu terjemah visi dan dasar kerajaan

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 26 Jun- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menenakankan pengurusan syarikat-syarikat bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) perlu menterjemah visi dan dasar kerajaan secara menyeluruh didasari dengan mandat yang diberikan sejak penubuhannya.

Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) adalah bawah pemilikan YPB dan perkara itu adalah sebahagian daripada strategi pemusatan institusi pelaburan bumiputera melalui yayasan berkenaan.

"Saya tekankan kepentingan pengurusan syarikat-syarikat bawah YPB agar menterjemah visi dan dasar kerajaan secara menyeluruh.

"Selain pulangan kewangan kepada pelabur, penting bagi diterapkan inisiatif pembangunan masyarakat berkaitan ilmu pengurusan kewangan, keusahawanan dan inovasi.

"Selain itu, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu menjadi peneraju dalam menyokong usaha kerajaan terkait hala tuju dan isu seperti ekonomi hijau, pemodenan industri pertanian dan gaji yang setimpal," kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah YPB Bilangan 1 Tahun 2024 dan ia mempunyai peranan penting dalam agenda pembangunan bumiputera melalui kumpulan syarikat bawah PNB, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Universiti Tun Abdul Razak.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI