fb fb fb fb fb

Pengurus syarikat rugi lebih RM156,000 terpedaya skim pelaburan tidak wujud

Foto hiasan

TEMERLOH, 4 Januari- Seorang pengurus syarikat 56 tahun di sini berputih mata selepas kerugian RM156,424 akibat terpedaya dengan helah skim pelaburan tidak wujud melalui aplikasi WhatsApp, September lalu.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman dalam satu kenyataan memaklumkan, suspek menawarkan pulangan sehingga 20 peratus pada setiap bulan melalui pertukaran mata wang asing dengan pelaburan berjumlah RM10,000.

"Akibat terpedaya dengan keuntungan lumayan dijanjikan, mangsa melakukan 18 kali transaksi kepada empat akaun bank berbeza, dalam tempoh 24 September hingga 18 Disember lalu.

"Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan RM7,000 untuk mengeluarkan keuntungan daripada pelaburan berkenaan," menurut kenyataan itu.

Hasil siasatan awal mendapati, mangsa telah menggunakan simpanan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membuat pelaburan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI