PUTRAJAYA, 30 Ogos - Tawaran pengurangan saman trafik sebanyak 50 peratus diumumkan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia ke-62. Ia menerusi Kempen Diskaun Saman Kebangsaan anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama MyDigital ID.
Menurut kenyataan KDN, tawaran ini hanya sah untuk pembayaran melalui aplikasi MyBayar PDRM dengan log masuk MyDigital ID, bagi memastikan kemudahan tersebut dimanfaatkan khusus kepada rakyat Malaysia.
Kempen bermula 31 Ogos hingga 16 September 2025 itu, memberi peluang kepada orang ramai menyelesaikan saman trafik dengan kadar lebih rendah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah ini bukan sahaja simbol penghargaan kerajaan kepada rakyat, malah menggalakkan penggunaan identiti digital nasional sebagai asas transformasi perkhidmatan awam.
“Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, kerajaan mengambil pendekatan untuk bukan sahaja meraikan pencapaian negara, tetapi juga memberi manfaat terus kepada rakyat. Tawaran ini adalah simbol penghargaan kerajaan kepada rakyat Malaysia, di samping menggalakkan penggunaan identiti digital nasional sebagai asas transformasi digital perkhidmatan awam,” katanya.
Inisiatif tersebut turut memastikan akses digital lebih selamat, mengurangkan risiko penipuan identiti serta penyalahgunaan maklumat peribadi, sekali gus memperkukuh agenda digitalisasi negara.
Kerajaan menzahirkan komitmen untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan seiring semangat kemerdekaan dan kemajuan Malaysia.