Pengosongan ladang babi Kuala Langat dijangka selesai Oktober

Datuk Ir. Izham Hashim

SHAH ALAM, 23 Julai – Kerja pengosongan ladang babi di Kuala Langat, Selangor dijangka selesai sepenuhnya menjelang Oktober ini apabila semua baki ternakan mencapai usia matang untuk dilupuskan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Baki kira-kira 12,000 ekor babi tinggal, berbanding 240,000 sebelum operasi pengosongan.
  • Jabatan Perkhidmatan Veterinar menjalankan audit; anak babi dibenarkan dibesarkan sehingga matang, proses dijangka selesai menjelang September.
  • Tahap pencemaran bertambah baik; inventori tanah dan pelan pemulihan dirangka, serta rundingan dengan KPKM untuk sokongan dan bantuan penternak.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim berkata ketika ini hanya kira-kira 12,000 ekor babi masih berada di kawasan berkenaan berbanding 240,000 ekor sebelum operasi pengosongan dilaksanakan.

Proses pengosongan ladang babi di Kuala Langat kini memasuki fasa akhir apabila baki ternakan yang masih berada di kawasan berkenaan kebanyakannya terdiri daripada anak babi atau piglet yang belum mencapai usia matang.

“Dalam beberapa hari ini, Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah turun padang untuk menjalankan audit bagi mengenal pasti jumlah ternakan yang masih tinggal.

“Kita dapati bilangannya semakin berkurangan. Sejak Februari lalu, kita telah membuat keputusan untuk membenarkan anak babi dibesarkan sehingga mencapai umur yang sesuai sebelum dilupuskan. Lazimnya, tempoh itu adalah sekitar tujuh hingga lapan bulan.

“Jadi, menjelang September nanti proses itu dijangka selesai. Selepas itu, pengosongan kawasan akan dilaksanakan secara berperingkat. Bagaimanapun, jika berlaku penularan penyakit, tindakan penyitaan akan diambil dan proses pengosongan perlu dilakukan serta-merta,” katanya.

Proses pengosongan yang dilaksanakan secara berperingkat turut memberi kesan positif apabila tahap pencemaran di kawasan ladang, sungai dan pantai berhampiran menunjukkan peningkatan dari segi kebersihan.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Semakan Semula Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu Negeri Selangor 2022 hingga 2030 di sini hari ini.

Dalam pada itu Kerajaan Negeri turut mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bersama pihak perunding menjalankan inventori keadaan tanah dan tahap pencemaran bagi merangka pelan pemulihan kawasan selepas pengosongan selesai.

Pada masa sama, perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) masih diteruskan bagi mendapatkan sokongan Kerajaan Persekutuan untuk memulihkan tanah selain membantu bekas penternak beralih kepada aktiviti pertanian lebih sesuai sebagai sumber pendapatan baharu.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan Kerajaan Negeri akan melaksanakan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, supaya tiada lagi ladang penternakan babi beroperasi di negeri itu di samping memastikan kebajikan penternak terus diberi perhatian sepanjang proses peralihan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.