AI perlu dimanfaat semua lapisan masyarakat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Julai Akses kepada ilmu pengetahuan dan kemahiran berkaitan kecerdasan buatan (AI) perlu diperluaskan agar manfaat teknologi itu dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • AI mampu membantu pelajar menimba ilmu, pekerja meningkatkan kemahiran dan usahawan mengembangkan perniagaan mereka.
  • Penggunaan AI mesti beretika dan bertanggungjawab untuk memperkasa kehidupan manusia tanpa menggantikan nilai kemanusiaan.
  • Jelajah AI MyMahir TalentCorp dirasmikan di Bandar Tun Razak, menghimpunkan lebih 450 peserta.
  • Inisiatif Kerajaan MADANI melalui Kementerian Sumber Manusia dan TalentCorp membawa kemahiran AI praktikal ke 11 kawasan Parlimen, melibatkan lebih 6,000 peserta.

Menurut Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, melalui penggunaan yang betul dan bertanggungjawab, AI mampu membantu pelajar menimba ilmu, golongan pekerja meningkatkan kemahiran dan usahawan mengembangkan perniagaan mereka.

“Kita perlu memastikan AI digunakan secara beretika dan bertanggungjawab. Teknologi perlu membantu memperkasa kehidupan manusia, bukan menggantikan nilai kemanusiaan yang menjadi asas kepada masyarakat.

“Jangan biarkan teknologi menggantikan hati yang baik, rasa belas ihsan, kasih sayang, empati dan nilai-nilai murni yang menjadikan seseorang itu insan yang bertanggungjawab, berintegriti serta sentiasa prihatin terhadap sesama manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Jelajah AI MyMahir TalentCorp Edisi Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Program anjuran TalentCorp itu menghimpunkan lebih 450 peserta.

Setakat ini, lebih 6,000 peserta daripada pelbagai latar belakang telah mengikuti Jelajah AI MyMahir TalentCorp.

Jelajah AI MyMahir TalentCorp merupakan inisiatif Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Sumber Manusia yang dilaksanakan oleh TalentCorp bagi membawa kemahiran AI secara praktikal dan mudah difahami kepada rakyat.

Jelajah itu telah dilaksanakan di 11 kawasan Parlimen, termasuk Kota Kinabalu, Sepanggar, Papar, Bangi, Sungai Buloh, Kluang, Parit Sulong, Sekijang, Paya Besar, Alor Gajah dan Port Dickson.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.