Pengkarya disaran manfaat AI, garis panduan dirangka bersama badan industri

Foto FB Kementerian Komunikasi

KUALA LUMPUR, 10 Mac– Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan bahawa teknologi kecerdasan buatan (AI) bukan ancaman kepada industri kreatif, sebaliknya merupakan peluang besar bagi pengkarya untuk berkembang selari dengan perubahan zaman.

RINGKASAN BERITA AI
  • AI berperanan sebagai pemudah cara dalam proses kreatif, bukan menggantikan sentuhan manusia.
  • Perbincangan bersama MACP, RPM dan PPM diperlukan untuk menetapkan batas penggunaan AI dalam muzik.
  • Pihak berkepentingan mesti merangka garis panduan bagi memastikan hak pengkarya dan masa depan pekerjaan terpelihara.
  • Kementerian menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada pengamal media, membantu veteran yang menghadapi kesusahan.

Beliau menjelaskan, meskipun AI semakin meluas dalam bidang muzik dan perfileman, peranannya lebih bersifat sebagai pemudah cara dalam proses kreatif, bukannya pengganti kepada sentuhan manusia.

“Dalam bidang perfileman, kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk membantu proses seperti menghasilkan ‘mood board’, namun ia tidak boleh menggantikan pembikin filem. Bagi industri muzik pula, perbincangan lanjut perlu diadakan bersama pihak seperti MACP, RPM, dan PPM untuk menentukan batas penggunaan yang boleh diterima.”

“Ini penting bagi memastikan masa depan pekerjaan pengkarya dan penulis lirik tidak terancam. Saya percaya AI tidak akan menggantikan artis, sebaliknya artis yang mahir menggunakan AI akan berada di hadapan,” kata Datuk Fahmi kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui pada Program Kasih Ramadan Kementerian Komunikasi yang berlangsung di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Angkasapuri hari ini.

Bagaimanapun, beliau menekankan keperluan perbincangan lanjut bersama badan industri seperti Music Authors’ Copyright Protection (MACP), Recording Performers Malaysia (RPM) dan Public Performance Malaysia (PPM).

Langkah itu penting bagi merangka garis panduan penggunaan AI bagi memastikan kepentingan serta hak pengkarya terus terpelihara.

“Dalam era digital ini, mereka yang bijak mengintegrasikan AI akan berada di hadapan. Kerjasama antara kreativiti manusia dan teknologi adalah kunci masa depan industri ini,” tambahnya.

Pada majlis sama, Fahmi turut menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada 10 pengamal media, termasuk veteran industri yang berdepan masalah kesihatan dan kesulitan hidup bagi persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Inisiatif kebajikan tersebut dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebagai menghargai jasa pengamal media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Sejak diperkenalkan pada April 2023, Tabung Kasih@HAWANA telah memanfaatkan seramai 668 pengamal media di seluruh negara.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.