KUALA LUMPUR, 28 Julai -Tindakan sesetengah pihak yang menggunakan Qunut Nazilah bagi mendoakan kehancuran kepimpinan negara disifatkan sebagai tidak wajar dan bertentangan dengan prinsip keharmonian dalam Islam.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Ahmad Fauwaz Fadzil menegaskan walaupun perbezaan pandangan dalam kalangan umat Islam, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mendoakan laknat terhadap sesama muslim.
Katanya, amalan Qunut Nazilah juga perlu berlandaskan batasan yang jelas agar tidak disalah tafsir atau disalah guna hingga menimbulkan pepecahan umat Islam.
"Saya berpandangan bahawa Qunut Nazilah perlu mempunyai batasan yang jelas serta tertakluk kepada panduan daripada badan berautoriti. Penggunaannya seharusnya dihadkan kepada situasi yang melibatkan musuh-musuh Islam yang nyata. Perbezaan pandangan atau khilaf ijtihad tidak wajar dijadikan alasan untuk membaca Qunut Nazilah kerana tindakan sedemikian hanya akan mengundang perpecahan dalam kalangan umat Islam.
"Saya mengharapkan agar seluruh umat Islam dapat mengelakkan penyalahgunaan Qunut Nazilah, melainkan ia dibenarkan oleh pihak berautoriti dalam konteks mempertahankan Islam dan menentang musuh-musuh Allah SWT. Terhadap sesama Muslim, kita dituntut untuk saling mendoakan kebaikan dan mengamalkan sifat memaafkan," kata Datuk Dr. Ahmad Fauwaz ketika dihubungi RTM.
Tambahnya, umat Islam perlu berpegang kepada prinsip husnuzon atau bersangka baik meskipun terdapat perbezaan pendapat sesama muslim.