fb fb fb fb fb

Penggunaan bahan terlarang, KKM batal notifikasi dua produk kosmetik

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 9 Julai- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membatalkan notifikasi dua produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini berkata produk berkenaan ialah Ailas Wild Rose Petal Face Cream dan Desha Night Cream (pelembap).

Kedua-dua produk itu dikesan mengandungi tretinoin dan merkuri sekali gus ia tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.

Tambahnya, pembatalan notifikasi produk itu dibuat oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM.

"Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Merkuri juga boleh menyebabkan iritasi, ruam dan perubahan pada kulit."

"Produk yang mengandungi tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan."

Boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini seperti pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari," kata kenyataan itu.

Justeru, beliau menggesa penjual dan pengedar produk itu untuk menghentikan segala urusan jual beli kerana telah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang didapati melakukan kesalahan itu berdepan hukuman denda tidak lebih RM25,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 untuk kesalahan pertama dan RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM