
KUALA TERENGGANU, 5 Julai – Pelaksanaan Program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) di Terengganu terus menerima reaksi positif daripada pelbagai lapisan masyarakat khususnya yang menggunakan bahan api itu.
- Inisiatif subsidi diesel memberikan lebih minyak untuk wang yang sama, menghasilkan penjimatan ketara bagi pengguna.
- Kontraktor melaporkan kos operasi turun, memudahkan pengurusan perbelanjaan dan menstabilkan harga perkhidmatan.
- Peniaga serta golongan berpendapatan rendah merasakan kelegaan, harap inisiatif diteruskan dan harga dikekalkan.
Inisiatif tersebut bukan sahaja membantu mengurangkan kos penggunaan bahan api, malah memberi manfaat kepada pengguna dan peniaga.
Nur Shafikah Sujirah Mohd Attan yang ditemui RTM berkata, banyak penjimatan yang dapat dilakukan dengan jumlah diesel yang dibeli lebih banyak berbanding sebelum ini.
“Apabila mengisi minyak sekarang, memang nampak perbezaannya berbanding sebelum ini. Dengan jumlah wang yang sama, saya memperoleh lebih banyak minyak, sedangkan dahulu jumlah yang diterima jauh lebih sedikit,” katanya.
Bagi kontraktor Mat Saiful Baidillah Ismail pula, subsidi berkenaan membolehkan penjimatan perbelanjaan untuk bahan api itu dilakukan dengan lebih baik.
“Biasanya saya membelanjakan lebih RM300, sekitar RM340 untuk mengisi penuh tangki. Dengan adanya subsidi ini, memang banyak penjimatan yang dapat dibuat. Kalau boleh, saya berharap harga bahan api dapat diturunkan lagi, sama ada diesel mahupun petrol.
“Alhamdulillah, kos operasi kami juga dapat dikurangkan. Kami menjalankan kerja-kerja pemasangan paip dan apabila harga minyak meningkat, harga bahan serta kos perkhidmatan turut naik. Akhirnya pelanggan juga terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu peniaga Muhd Zulkefli Razak yang ditemui berkata, harga diesel pada ketika ini sudah memadai kerana memberi kelegaan kepada rakyat.
“Kalau boleh, harga dikekalkan seperti sekarang pun sudah memadai. Sekurang-kurangnya kami boleh menarik nafas lega dan mengurangkan beban kos. Penurunan harga ini memang memberi manfaat kepada kami,” katanya.
Seorang lagi peniaga Muhammad Helmi Sulong berkata, inisiatif itu meringankan perbelanjaan buat pengguna diesel.
“Alhamdulillah, saya berharap inisiatif ini dapat diteruskan kerana ia banyak membantu. Pendapatan kami bukannya tinggi, jadi apabila kos bahan api dapat dikurangkan, sedikit sebanyak ia meringankan beban kami dalam mencari rezeki,” katanya.