
KUALA LUMPUR, 27 Jun – Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Habib Jewels Datuk Seri Meer Sadik Habib Mohamed dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1448H/2026M peringkat Wilayah Persekutuan hari ini.
- Memperkasa ekonomi ummah dan memartabatkan institusi zakat melalui sumbangan serta kepimpinan berteraskan prinsip Syariah.
- Mengembangkan sistem pajak gadai Islam Ar-Rahnu sebagai alternatif pembiayaan adil berlandaskan prinsip Syariah.
- Melalui Yayasan Habib, melaksanakan inisiatif pendidikan dan kebajikan, membantu lebih 1,000 keluarga asnaf serta menyediakan rumah transit dan kenderaan untuk pesakit HKL.
- Mencatatkan rekod sebagai pembayar zakat individu tertinggi di Wilayah Persekutuan selama lima tahun berturut-turut (2021 hingga 2025).
Pengiktirafan tertinggi itu diberikan atas sumbangan besar beliau dalam memperkasa ekonomi ummah, selain memartabatkan institusi zakat serta komitmen berterusan terhadap kebajikan masyarakat.
Beliau yang ditemui pemberita mengucapkan rasa syukur dan menyifatkan anugerah berkenaan sebagai pembakar semangat untuk terus menyumbang kepada masyarakat.
“Saya berasa amat bersyukur dan juga dengan rendah diri menerima anugerah ini. Apa yang kita percaya, kita menjalankan perniagaan secara jujur dan ikhlas dan beramanah, ini amat penting sekali.
“Apa yang saya nak tengok dalam orang-orang kita ialah untuk menguasai ekonomi. Ini adalah sesuatu yang penting juga kerana dengan adanya (kekuatan ekonomi) kita dapat membuat sesuatu yang bermanfaat.
“Di Malaysia ini, kita bukan sahaja ada orang Islam tapi orang bukan Islam pun ada. Kita nak menunjukkan akhlak kita yang baik dan contoh yang baik kepada mereka,” ujarnya.
Sebagai peneraju utama Habib Jewels Sdn Bhd, beliau memainkan peranan yang sangat signifikan dalam pembangunan sistem pajak gadai Islam, Ar-Rahnu di Malaysia yang berteraskan prinsip Syariah, sekali gus menyediakan alternatif pembiayaan yang adil kepada masyarakat.
Selain sektor perniagaan, beliau menerusi Yayasan Habib aktif melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan dan kebajikan, termasuk menyalurkan bantuan kepada lebih 1,000 keluarga asnaf di Wilayah Persekutuan serta menyediakan kemudahan rumah transit dan kenderaan untuk kegunaan pesakit Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Beliau juga merekodkan pencapaian luar biasa apabila muncul sebagai pembayar zakat individu tertinggi di Wilayah Persekutuan selama lima tahun berturut-turut dari tahun 2021 hingga 2025, sekali gus melayakkan beliau menerima penghormatan tertinggi sempena sambutan Maal Hijrah peringkat Wlayah persekutuan kali ini.