fb fb fb fb fb

Pengambilalihan MASwings: Ringankan beban tambang 'belon' anak Sarawak

Fazzrudin ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Tupong di Pusat Acara Hikmah Exchange Kuching

KUCHING, 14 April- Pengambilalihan syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak semestinya akan memberi kelegaan kepada anak-anak Sarawak yang menuntut di Semenanjung Malaysia.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Tupong berkata hal ini sudah pasti dapat meringankan kos bagi pembelian tiket pada pada musim perayaan.

"Kalau kita cari tiket sekarang untuk balik ke Kuala Lumpur dianggarkan berharga RM800 sehingga RM1,000, itu kos yang agak tinggi. Kita mengharapkan dengan adanya syarikat penerbangan ini mungkin dapat memberi sedikit saingan atau mungkin boleh menurunkan lagi harga tiket bagi anak-anak Sarawak untuk ke Semenanjung atau dari Semenanjung ke Sarawak,” katanya.

Beliau yang juga Penasihat Sarawak Volunteers berkata dianggarkan seramai 10,000 hingga 12,000 pelajar Sarawak yang akan mendapat manfaat daripada Inisiatif Graduan Pulang Sarawak IGPS yang dijalankan bersama Yayasan Sarawak.

Fazzrudin berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Tupong di Pusat Acara Hikmah Exchange Kuching hari ini yang turut dihadiri Premier Sarawak Tan Si Abang Johari Tun Openg dan beberana pemimpin kabinet negeri.

Khamis lepas, Premier Sarawak mengumumkan syarikat penerbangan milik Sarawak dijangka mula beroperasi pada 2025.

Proses pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh kerajaan negeri itu sedang berlangsung selepas dipersetuiui secara prinsip oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Aviation Group.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE