fb fb fb fb fb

Pengamal media perlu terus hebah kempen solidariti Palestin

Foto SALAMfm

PUTRAJAYA, 27 Oktober- Pengamal media diminta terus menguar-uarkan kempen solidariti bersama rakyat Palestin sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap penderitaan mereka.

Tidak terkecuali, radio SALAMfm turut turun padang mengadakan kempen sebagai menyahut pendirian kerajaan untuk terus bersama-sama mempertahankan hak dan kebebasan Palestin.

Penolong Pengarah Kanan Cawangan Radio Dan Berita Ehwal Semasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Muhammad Sariman Abd Manap berkata sebagai sebuah radio Islam, pihaknya berasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk peduli dan prihatin dengan isu semasa di Palestin.

"Selalunya penyampai kita di studio, tapi hari ini kita buat radio di lokasi kita merakam, temu bual orang ramai untuk suarakan, udarakan pandangan dan juga komen mereka terhadap isu yang sedang berlaku terutama di Palestin," katanya kepada pemberita di sini.

Seramai 15 penyampai radio turun padang menjayakan kempen Solidariti SALAMfm untuk Palestin.

Radio SALAMfm turut menyebarkan luas tentang solidariti Gaza menerusi program Ejas Bagi Betul (Senjata Doa untuk Palestin), Halaqah Hadis (Usaha Rasulullah Membebaskan Baitulmaqdis), kapsul fakta tentang Palestin dan Pesanan Khidmat Masyarakat.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM