Penduduk terjejas banjir di Kelantan meningkat

PASIR MAS, 13 Disember– Jumlah penduduk terjejas banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan meningkat.

Menurut Infobencana JKM, sehingga jam 11.00 malam, seramai 2,018 penduduk terjejas membabitkan 635 keluarga ditempatkan di tujuh buah PPS di Pasir Mas.

PPS SK Tok Deh menempatkan penduduk paling ramai terjejas banjir iaitu 712 orang daripada 226 keluarga.

Sementara itu, di PPS SK Gual Periok, terdapat seramai 544 individu terjejas berlindung melibatkan 149 keluarga.

Lima lagi PPS yang beroperasi ialah SK Sri Kiambang menempatakn 234 penduduk terjejas, SK Kubang Kual (251), PPS Putat Tujoh (157), Masjid Mukim Padang Licin (73) dan SK Kedai Tanjong (47) orang.

Selain itu, menurut Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sungai-sungai utama menunjukkan trend penurunan.

Bagaimanapun, Sungai Golok di Rantau Panjang masih mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya iaitu 9.32 meter, manakala Sungai Golok di Kuala Jambu Tumpat pula pada paras 2.23 meter melebihi paras amaran.


(Jumlah penduduk terjejas banjir yang dipindahkan
ke PPS di Kelantan meningkat)