
KUALA LUMPUR, 10 April – Pendekatan proaktif diambil kerajaan bagi memastikan sistem kesihatan negara kekal berdaya tahan dengan merancang strategi sehingga suku pertama 2027 dalam mendepani situasi kekurangan bekalan ubat susulan konflik Asia Barat.
- Strategi berteraskan tiga teras: pemantauan ramalan dan amaran awal, pematuhan mandatori, serta maklum balas segera.
- Beralih daripada pengurusan reaktif kepada sistem jangkaan risiko proaktif untuk memperkukuh kesiapsiagaan.
- Di bawah peraturan NPRA, pemegang pendaftaran wajib lapor potensi kekurangan atau pemberhentian ubat enam bulan lebih awal.
- Pematuhan sukarela akan diwajibkan mulai 1 Julai; industri diminta maklumkan ketersediaan bahan aktif dan pembungkusan sebelum 15 April.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, strategi tersebut berteraskan tiga teras utama, iaitu pemantauan ramalan dan amaran awal, pematuhan mandatori serta maklum balas segera.
“Kami telah beralih daripada pengurusan reaktif kepada sistem jangkaan risiko secara proaktif. Bawah peraturan enam bulan melalui NPRA (Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan), pemegang pendaftaran produk kini diwajibkan untuk melaporkan potensi kekurangan atau pemberhentian ubat, sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal”, kata beliau dalam temu bual bersama Bernama TV.
Katanya, bagi pematuhan mandatori yang sebelum ini bersifat sukarela akan diwajibkan bermula 1 Julai ini.
Selain itu, pihak industri turut diminta memberikan maklum balas segera berhubung ketersediaan bahan aktif dan bahan pembungkusan sebelum 15 April depan.
Menurut beliau, kesan sebenar terhadap rantaian bekalan lazimnya hanya dirasai selepas berlaku sesuatu krisis dan boleh berlanjutan sehingga enam bulan.
Sehubungan itu, persediaan Kementerian Kesihatan terus diperkukuh dan tidak hanya bergantung kepada perubahan geopolitik.