TANAH MERAH, 26 Februari- Unit Pengesan Anjing (K9) Wilderness Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digerakkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, 19 bulan, yang dilaporkan hilang di Kampung Aira Kuala Tiga di sini sejak Isnin lalu.
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata dua ekor anjing pengesan daripada unit itu telah mula digunakan sejak 10.00 pagi tadi bagi menjejak sebarang petunjuk di kawasan hutan dan anak sungai sekitar lokasi kejadian.
"Setakat ini, kita masih menunggu perkembangan lanjut daripada unit K9 yang digunakan secara bergilir-gilir bagi memastikan operasi berjalan lancar.
"Kita turut memperluaskan pencarian di kawasan hutan dan sepanjang tiga kilometer anak sungai bagi mengesan sebarang tanda keberadaan mangsa," katanya.
Beliau berkata dua anjing K9 yang digunakan ialah daripada baka Belgian Shepherd bernama 'Tipo' dan Labrador bernama 'Eros', masing-masing berusia sembilan tahun dan tujuh tahun sembilan bulan.
Menurutnya, tempoh penggunaan anjing K9 dalam operasi itu akan bergantung kepada perkembangan semasa.
Sehingga kini, tiada sebarang petunjuk baharu ditemui.
BERITA BERKAITAN