fb fb fb fb fb

'Hud Aryan selalunya bersuara jika dapat keluar' - Ibu saudara

Ibu saudara mangsa, Azean Suhaili Sisiliawati Ramley/RTM

TANAH MERAH, 26 Februari- Kehilangan kanak-kanak lelaki, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, 19 bulan, sejak Isnin lalu di Kampung Aira Kuala Tiga di sini masih menjadi tanda tanya dengan usaha pencarian terus giat dilakukan.

Ibu saudara mangsa, Azean Suhaili Sisiliawati Ramley yang tinggal di hadapan rumah ibunya berkata mereka sekeluarga tidak mendengar suara Hud Aryan seperti kebiasaannya setiap kali dia keluar dari rumah.

"Kami tidak dengar apa-apa. Hud Aryan suka galok (sangat girang) bila dapat keluar, suaranya tidak pernah sunyi. Tetapi kali ini, kami langsung tidak dengar sebarang bunyi," katanya ketika ditemui RTM.

Sebaik dimaklumkan oleh adiknya, Azean Nur Atikah bahawa anaknya tiada dalam rumah, mereka segera mencari di kawasan persekitaran termasuk anak sungai sebelum membuat laporan polis dan meminta pihak masjid mengumumkan kehilangan tersebut bagi mendapatkan bantuan orang ramai.

"Kami terus mencari di sekitar rumah dan anak sungai kerana bimbang dia tergelincir, lebih-lebih lagi keadaan tanah licin selepas hujan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Penguasa Polis (SP) Mohd Haki Hasbullah mengesahkan kehilangan Hud Aryan tidak mempunyai unsur jenayah memandangkan keluarga mangsa tidak menerima sebarang panggilan atau permintaan berkaitan kes itu.

"Setakat ini, tiada petunjuk yang menunjukkan pembabitan jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang," katanya.

Semalam, media melaporkan Hud Aryan disedari hilang dari rumah keluarganya kira-kira jam 7.20 malam sebelum usaha pencarian segera digerakkan oleh ahli keluarga dan pihak berkuasa.

2602 HUD ARYAN HILANG 2
Ibu dan bapa Hud Aryan, Azean Nur Atikah Ramley, 34, dan Mohd Nor Hafifi Saidi, 34 /RTM

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA