TANAH MERAH, 25 Februari- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki berusia satu tahun tujuh bulan yang dilaporkan hilang di Kampung Aira Kuala Tiga, di sini, Kelantan, semalam, diteruskan hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah, Mohd Zulkifli Osman berkata operasi mencari Hud Aryan Mohd Nor Hafifi disambung semula sekitar pukul 9.00 pagi selepas dihentikan 11.00 malam tadi berikutan tiada petunjuk ditemukan.
Pasukan SAR terdiri daripada 10 anggota BBP Tanah Merah, anggota polis serta orang awam dan bantuan unit anjing pengesan (K9) daripada ibu pejabat juga dijangka akan menyertai operasi hari ini.
"Pencarian hari ini meliputi kawasan radius satu hingga dua kilometer dari rumah mangsa," katanya ketika dihubungi RTM.
Mohd Zulkifli berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.02 malam tadi sebelum operasi SAR dilakukan di sekitar rumah termasuk kawasan hutan berhampiran terutama parit di hadapan rumah mangsa.
Difahamkan ketiadaan Hud Aryan mula dikesan ahli keluarganya sekitar pukul 7.00 malam tadi.