SUBANG JAYA, 14 Mac- Penantian seniwati legenda, Datuk Dr Sarimah Ahmad selama 36 tahun untuk mendapatkan semula hak milik empat filemnya akhirnya berakhir hasil usaha Kementerian Komunikasi dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Filem-filem tersebut ialah Dia Ibuku, Jejak Bertapak, Kabus Tengah Hari dan Detik 12 Malam yang sebelum ini diserahkan kepada sebuah syarikat produksi bawah perjanjian tayangan pada tahun 1989.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata syarikat yang memiliki bahan filem itu telah menyerahkan salinan dalam format cakera keras (HDD) kepada FINAS bagi tujuan restorasi.
"Ini membolehkan salinan filem tersebut diserahkan semula kepada Sarimah pada masa akan datang. Ia juga sebahagian daripada usaha memulihkan warisan seni negara kita," katanya pada program Ziarah Seni MADANI FINAS di kediaman anak seniwati itu di sini hari ini.
Sementara itu, Sarimah menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menjadi pencetus usaha mengembalikan hak milik karyanya.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih terutama kepada Kerajaan MADANI khususnya kepada Perdana Menteri. Saya tidak dapat membalas budinya, cuma Allah sahaja yang akan membalas budinya," katanya penuh kesyukuran.
Dalam program sama, Sarimah turut menerima penghargaan menerusi inisiatif Ziarah Seni MADANI FINAS, menjadikan beliau penerima pertama daripada 100 penggiat seni yang bakal menerima bantuan tahun ini.
Menurut Nie Ching, program tersebut bukan sahaja sebagai tanda penghormatan terhadap sumbangan Sarimah dalam industri perfileman, malah bertujuan meringankan beban beliau yang pernah menghidap kanser usus pada 2022.
"Ini adalah program pertama sempena Ramadan dan juga sempena Hari Wanita Antarabangsa kerana kita mahu memberikan penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kepada tokoh-tokoh seni wanita negara.
"Pada masa sama, kami membawa sedikit sumbangan daripada pihak FINAS dan juga daripada pejabat saya. Kami berharap Sarimah cepat sembuh dan terus berada dalam keadaan sihat serta panjang umur," tambahnya.
Tahun lalu, seramai 49 penggiat seni menerima bantuan menerusi program berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan menjaga kebajikan anak seni.