fb fb fb fb fb

Pemimpin politik disaran promosi keharmonian, bukan sentimen

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 13 September - Golongan pemimpin politik disyorkan berganding bahu untuk mempromosi keharmonian dalam negara, kata Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Yusri Ibrahim.

Tambah beliau, ahli politik bukan sewenang-wenangnya memainkan sentimen atau isu sensitif, demi kepentingan politik semata-mata.

Justeru, kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang semalam disifatkan provokatif serta seolah-olah 'menangguk di air keruh'; kerana cuba mensensasikan isu-isu yang seharusnya diselesaikan dengan lebih rasional.

Katanya, pentadbiran Kerajaan Perpaduan selama hampir dua tahun telah membuktikan kejayaan dalam amalan perkongsian kuasa yang seimbang, selaras dengan komposisi masyarakat majmuk di Malaysia.

"Kerajaan Perpaduan telah membuktikan bahawa perkongsian kuasa yang baik adalah selaras dengan komposisi masyarakat majmuk yang ada dalam negara kita," katanya ketika dihubungi RTM.

Tambah beliau, sebarang kenyataan daripada pemimpin bukan Islam yang menyentuh isu pentadbiran perlu ditangani secara berhemah melalui saluran yang betul.

"Jika ada pun kenyataan-kenyataan oleh pemimpin bukan Islam, yang berkaitan isu-isu pentadbiran, maka sewajarnya ia diurus dan diberi maklum balas secara pentadbiran," katanya lagi.

Beliau turut menekankan kepentingan untuk semua pemimpin politik mempromosikan keharmonian dan toleransi dalam masyarakat majmuk yang mengamalkan demokrasi berparlimen serta Raja Berperlembagaan.

"Pemimpin politik sepatutnya berperanan mempromosi keharmonian, mempromosi toleransi sesuai dengan kerangka perlembagaan yang ada," tambahnya.

Beliau turut memuji komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang secara konsisten mengutamakan isu-isu berkaitan Islam, termasuk dalam negara dan juga krisis antarabangsa seperti konflik yang menimpa rakyat Palestin.

GRACE AISYAH KEDAYAN