ALOR SETAR, 21 Februari- Keluarga Diraja Kedah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud yang telah kembali ke rahmatullah, awal pagi tadi.
Kerabat diraja itu memuat naik satu poster di Facebook rasminya, mendoakan agar roh allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT.
"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh," kata kenyataan yang disiarkan Kedah Royal Family.
Allahyarham Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib, 88 tahun, merupakan bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan CVS KL pada pukul 4.40 pagi tadi akibat sakit tua.