fb fb fb fb fb

Pembinaan RMM, kerajaan terus beri galakan kepada pemaju

Foto FB Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 21 Oktober- Kerajaan akan terus memberi galakan menerusi pelbagai insentif termasuk pelepasan cukai dan akses kepada tanah yang lebih strategik kepada pemaju yang komited dengan pembinaan rumah mampu milik (RMM), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kerjasama strategik dengan sektor kewangan turut akan dipertingkatkan untuk memudahkan akses pembiayaan perumahan bagi rakyat terutama golongan muda.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) bagi membincangkan isu-isu perumahan mampu milik antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pemain industri di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

“Adalah mustahak bagi semua pihak menggembleng tenaga dalam usaha mewujudkan ekosistem perumahan yang mencerminkan keupayaan, kemampuan dan permintaan sebenar pasaran.

“Intervensi kerajaan bagi golongan kumpulan sasar ini amat diperlukan kerana tahap kemampuan mereka masih rendah untuk memiliki rumah pada harga pasaran. Pihak swasta juga perlu berganding bahu membina rumah pada harga yang mampu dimiliki oleh lokaliti,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, exco perumahan negeri di Semenanjung, menteri Persekutuan yang berkaitan dan pegawai kanan kerajaan.

Fadillah berkata MPMMN yang merupakan majlis peringkat tinggi mempunyai peranan dan fungsi utama dalam membincang dan menyelaras isu berkenaan perancang, penyelaras dan pemantau penyediaan RMM yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Selain itu, beliau berkata MPMMN juga berperanan menanda dan menentukan paradigma baharu yang tuntas kepada agenda perumahan negara.- BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM