Pembinaan blok tambahan Hospital Sibu dipertimbang semula

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 November – Cadangan pembinaan blok tambahan Hospital Sibu akan diangkat semula untuk dipertimbang bawah Rolling Plan Ketiga (RP3), Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerja awal perlu dilaksanakan kerana tanah lembut untuk menentukan reka bentuk bangunan yang bersesuaian.
  • Pembinaan meningkatkan kapasiti hospital dan memperluas perkhidmatan pakar serta subkepakaran bagi memenuhi keperluan Sarawak Tengah.
  • Skop pembangunan: blok klinikal 288 katil, blok kelas, 46 kuarters, blok sokongan termasuk parkir, perolehan peralatan, ICT dan perjawatan baru.
  • Dijangka mengurangkan kesesakan wad dan kecemasan serta menambah baik klinik pakar, fasiliti wanita dan kanak-kanak termasuk rawatan kritikal, dewan bedah dan bersalin.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan kerja-kerja awalan dilaksanakan berikutan keadaan tanah lembut di kawasan hospital berkenaan.

Katanya, langkah itu penting bagi menentukan reka bentuk bangunan yang bersesuaian dengan keadaan tapak projek.

Selain itu, pembinaan blok tambahan itu dijangka akan meningkatkan kapasiti hospital berkenaan serta memperluas perkhidmatan kepakaran dan subkepakaran bagi memenuhi keperluan penduduk khususnya di Sarawak Tengah.

“Skop pembangunan merangkumi blok klinikal dengan penambahan 288 katil, blok kelas, 46 unit kuarters, blok sokongan termasuk tempat letak kereta, perolehan peralatan dan komponen teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta penambahan perjawatan baharu.

“Pembinaan blok tambahan ini juga dapat mengatasi masalah kesesakan di wad dan Jabatan Kecemasan dan Trauma, menaik taraf klinik pakar serta menambah baik kemudahan perkhidmatan wanita dan kanak-kanak, termasuk fasiliti rawatan kritikal, dewan bedah dan dewan bersalin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew, berhubung status cadangan pembinaan bangunan baharu Hospital Sibu, Sarawak, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Hospital Sibu menerima peruntukan RM27.6 juta bagi kerja pembaikan, naik taraf dan perolehan peralatan sepanjang tahun 2023 hingga 2025.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.