Pemasyhuran Tunku Zain Al-‘Abidin mampu perkukuh hubungan Institusi Diraja dan rakyat

Foto BERNAMA

SEREMBAN, 12 Jun – Pemasyhuran Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz sebagai Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan dilihat mampu memperkukuh hubungan Institusi Diraja dengan rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memiliki keperibadian sederhana, mudah didekati dan pemikiran progresif, menurut Pengarah Komunikasi USIM.
  • Aktif bekerjasama dengan USIM dalam program kesukarelawanan, khususnya melibatkan golongan orang kurang upaya.
  • Dipandang tepat kerana pengalaman luas dalam pendidikan dan masyarakat; diharap terus mendekati rakyat terutama golongan muda serta memelihara adat.

Pengarah Komunikasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Dr Faizal Kasimin menyifatkan Baginda memiliki keperibadian yang sederhana, mudah didekati dan mempunyai pemikiran yang progresif.

“Saya bekerja rapat dengan pejabat Tunku Zain dan dapat melihat Baginda sering memberi inspirasi melalui pendekatan kreatif dalam pelbagai program.

“Baginda juga aktif bekerjasama dengan USIM dalam aktiviti kesukarelawanan, khususnya membabitkan golongan orang kurang upaya,” katanya.

Bagi pelajar Politeknik Nilai, Muhammad Hashri Hijan M. Hazman, pemasyhuran Tunku Zain Al-‘Abidin disifatkan tepat berdasarkan pengalaman luas Baginda.

“Tunku Zain mempunyai pengalaman luas dalam bidang pendidikan dan masyarakat. Saya harap Baginda dapat terus mendekati rakyat terutama golongan muda,” katanya.

Sementara itu, pesara kerajaan Dzulkarnaim Mohamed berharap Tunku Zain dapat terus memainkan peranan sebagai penghubung antara institusi diraja dan rakyat.

“Pada pandangan saya, Tunku Zain seorang yang mesra rakyat dan dekat dengan golongan muda,” katanya.

Pelajar USIM Ahmad Iqbal Alfaruq Rosli pula berkata pemasyhuran berkenaan mencerminkan kelangsungan adat dan tradisi Negeri Sembilan yang terus dipelihara.

“Saya gembira dengan pemasyhuran ini kerana ia menunjukkan adat dan tradisi negeri terus dihormati serta dipertahankan,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan memasyhurkan putera kedua Baginda itu sebagai penyandang baharu Gelaran Pusaka Putera Yang Empat, Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan.

Istiadat pemasyhuran berlangsung di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.