Pemantauan gaji minimum diperkukuh, jamin kebajikan pekerja

KUALA LUMPUR, 14 Oktober -Kementerian Sumber Manusia (KSM) memperkukuh pemantauan pematuhan gaji minimum oleh majikan bagi memastikan kebajikan pekerja tempatan terus terpelihara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penguatkuasaan dipertingkatkan untuk memastikan majikan mematuhi gaji minimum demi melindungi kebajikan pekerja tempatan.
  • Sistem ePPAx digunakan untuk menilai kepatuhan majikan secara menyeluruh di seluruh negara.
  • Tindakan tegas seperti kompaun, denda atau perintah mahkamah akan dikenakan terhadap majikan yang ingkar.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sistem Electronic Employers’ Compliance and Payroll Audit (ePPAx) digunakan untuk menilai kepatuhan majikan secara menyeluruh di seluruh negara.

“Keutamaan diberikan kepada rakyat tempatan sebelum menggajikan pekerja asing.

Kita juga tingkatkan penguatkuasaan di bawah jabatan berkaitan dan minta pekerja tampil membuat aduan supaya tindakan boleh diambil,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas beliau, operasi penguatkuasaan kini giat dijalankan di seluruh negara, dengan tindakan kompaun, denda atau perintah mahkamah akan dikenakan terhadap majikan yang ingkar.

“Kita turun padang untuk pastikan pematuhan gaji minimum, dan mana-mana kesalahan akan dikenakan tindakan sewajarnya,” jelasnya.