Tabung Haji kembali kukuh, kedudukan makin stabil

Menara Tabung Haji (TH) Tun Razak

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Tabung Haji (TH) kini berada pada kedudukan stabil dan semakin kukuh selepas melalui proses pemulihan hasil pengorbanan bersama serta komitmen penuh kerajaan terhadap institusi berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah aset, simpanan pendeposit dan kadar agihan meningkat sejak 2018, menunjukkan pemulihan prestasi TH.
  • Kerugian hampir RM13 bilion sebelum 2018 ditanggung bersama kerajaan dan TH, membebankan rakyat serta menuntut akauntabiliti.
  • Kerajaan komited terus menyokong TH, termasuk pindaan Akta 535 dan pengenalan kawal selia Suruhanjaya Sekuriti; simpanan pendeposit dijamin Seksyen 24.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan memaklumkan, perkembangan itu dapat dilihat menerusi peningkatan jumlah aset, simpanan pendeposit dan kadar agihan keuntungan yang semakin baik sejak 2018.

“TH mencatatkan jumlah aset sebanyak RM98.58 bilion melebihi liabiliti berjumlah RM95.63 bilion berdasarkan kedudukan pada 31 Disember 2025.

“Lebih memberangsangkan, dana simpanan pendeposit turut meningkat daripada RM75.4 bilion pada 2018 kepada RM93.4 bilion pada 2025,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, kadar agihan kepada pendeposit meningkat daripada hanya 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.50 peratus pada 2025 membabitkan jumlah agihan RM3.22 bilion.

Dalam perbahasan khas Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 di Dewan Rakyat, kerajaan menegaskan kerugian yang berpunca daripada salah urus kewangan dan pelaburan sebelum 2018 itu tidak hilang, sebaliknya ia ditanggung bersama.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengesahkan tahap kerugian hampir RM13 bilion, iaitu kerugian RM10.2 bilion ditanggung pihak kerajaan melalui Urusharta Jamaah pada 2018 dan rosot nilai RM2.6 bilion yang ditanggung Tabung Haji sendiri.

“Salah urus Tabung Haji ditanggung semua, beban kerugian yang dipindah ke kerajaan akhirnya dipikul rakyat dan semua pembayar cukai.

Sementara kerugian yang ditanggung Tabung Haji akhirnya menjejas pendeposit di Tabung Haji kerana kerugian dipikul semua rakyat, akauntabiliti bukan pilihan,” katanya.

Bagaimanapun, Datuk Seri Amir Hamzah memaklumkan, pengorbanan bersama telah membuahkan hasil dan kerajaan menegaskan komitmen penuhnya terhadap Tabung Haji.

Kerajaan akan meneruskan proses pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), antaranya bagi memperkenalkan kawal selia Suruhanjaya Sekuriti (SC) terhadap aktiviti pelaburan Tabung Haji, selaras dengan syor RCI.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Hasan menegaskan, simpanan pendeposit TH adalah selamat kerana keseluruhan simpanan setiap pendeposit dijamin kerajaan di bawah Seksyen 24 Akta 535.

Jaminan berkenaan telah wujud sejak TH ditubuhkan dan kekal sehingga hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.