SIBU, 13 Februari- Seorang pemandu lori maut, dipercayai mengalami serangan sakit jantung ketika memandu yang menyebabkan kenderaannya melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda (4X4) di persimpangan lampu isyarat di Jalan Tun Zaidi Adruce semalam.
Kemalangan dilaporkan berlaku pada pukul 11.36 pagi ketika kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun berhenti semasa lampu isyarat merah di persimpangan berkenaan.
“Semasa berhenti di situ, kenderaannya kemudian telah dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lori yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun, yang disyaki mengalami serangan sakit jantung,” kata Ketua Polis Daerah Sibu Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Zulkipli Suhaili dalam kenyataan.
Katanya,akibat kemalangan itu, pemandu lori berkenaan ditemukan dalam keadaan terbaring di dalam lori.
Pasukan paramedik Hospital Sibu yang tiba dilokasi kejadian kemudiannya mengesahkan pemandu lori berkenaan meninggal dunia.