(Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin)
KUALA LUMPUR, 10 September - Bermula esok, pemakaian pelitup muka di institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) tidak lagi diwajibkan.
Bagaimanapun, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pemakaian pelitup muka amat digalakkan di kawasan ramai orang dan sesak dalam institusi pendidikan.
"Pemakaian pelitup muka dalam bangunan atau pun di luar bangunan dalam kawasan sekolah, adalah mengikut pilihan masing-masing. Ianya tidak diwajibkan, namun begitu, kita amat galakkan pemakaiannya khususnya di tempat-tempat yang ramai orang, pada masa yang sama juga, anak-anak diingatkan bahawa yang naik bas, pastikan anda memakai pelitup muka dalam bas sekolah, apa yang penting, kita pastikan keadaan sekolah ini selamat, kata beliau hari ini.
(Foto fail)
Bagi individu bergejala seperti demam, batuk dan selesema pula, wajib memakai pelitup muka semasa berada dalam bangunan di kawasan institusi pendidikan, sementara di luar bangunan pemakaiannya amat digalakkan.
Bagi individu yang dikesan positif COVID-19 semasa berada di institusi pendidikan atau asrama, mereka wajib memakai pelitup muka semasa dirujuk ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) atau fasiliti kesihatan.