
KUALA LUMPUR, 16 November – Pelan Strategik Majlis Perubatan Malaysia (MPM) 2026-2030 dijangka memperkukuh standard amalan doktor dan pakar bagi meningkatkan kualiti rawatan serta keselamatan pesakit di semua fasiliti kesihatan negara.
- Memastikan pengamal perubatan mematuhi piawaian tinggi bagi meningkatkan hasil rawatan dan mengurangkan pertikaian perundangan.
- Melibatkan semua peringkat penjagaan kesihatan untuk menetapkan amalan doktor dan pakar di setiap fasiliti.
- Mengintegrasi digitalisasi melalui pembangunan MeRITS 2.0 bagi automasi proses regulatori termasuk pengesahan CPD dan perlindungan indemniti.
- Pertambahan pengamal berdaftar menuntut pemerkasaan kerangka kawal selia kerjaya perubatan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelan itu akan memastikan pengamal perubatan mematuhi piawaian tinggi, sekali gus meningkatkan hasil rawatan dan mengurangkan pertikaian perundangan berkaitan perkhidmatan perubatan.
Tambahnya, usaha itu melibatkan semua peringkat perkhidmatan kesihatan yang akan menentukan amalan para doktor dan pakar di setiap fasiliti.
“Saya yakin pelan strategik ini akan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan di semua fasiliti merangkumi perkhidmatan penjagaan kesihatan primer, sekunder dan tertiari, termasuk perkhidmatan di pusat-pusat kepakaran.
“Itulah aspirasi utama pelan strategik ini dalam mempertingkat standard amalan perubatan di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pelan strategik itu di sini.
Mengulas lanjut mengenai integrasi digitalisasi, Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata, pelan strategik MPM 2026-2030 melibatkan usaha pembangunan platform MeRITS 2.0.
Ia bertujuan meningkatkan automasi proses regulatori termasuk pengesahan Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) dan perlindungan indemniti profesional.
Berdasarkan data MPM, jumlah pengamal perubatan berdaftar terus bertambah sejak 2017 hingga 2024, sekali gus mendorong keperluan memperkukuh kerangka kawal selia kerjaya perubatan.