KUALA LUMPUR, 9 Januari- Pelan Pendidikan Masa Depan Malaysia 2026-2036 merupakan cadangan untuk membentuk semula sistem pendidikan negara menjangkau 10 tahun akan datang.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pelan komprehensif itu selaras dengan agenda pendidikan masa depan selain menumpukan pelbagai pembaharuan untuk meningkatkan kualiti, kebolehcapaian dan kerelevanan pendidikan untuk pelajar di seluruh negara.
"Antara bidang utama ialah memberi tumpuan kepada sekolah, pembangunan pelajar, penumpuan dan pelaksanaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
"Selain itu, rancangan berkenaan akan menangani cabaran seperti buli dan isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar dan pendidik. Pada masa sama menyelesaikan isu berkaitan kesaksamaan dan jurang pendidikan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjadi panel bagi Forum Ekonomi Malaysia (FEM) dalam memperkasakan pendidikan di ibu negara.
Pelan Pendidikan Masa Depan Malaysia 2026-2036 akan menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, yang akan berakhir tahun ini.
Dalam pada itu Bahasa Melayu akan terus dimartabatkan selain memperkukuh Bahasa Inggeris dalam pembelajaran di peringkat sekolah.
Menurut Fadhlina perkara itu merupakan sebahagian komitmen kerajaan dalam memantapkan penggunaan kedua-dua bahasa tersebut dalam kalangan pelajar.
"Jadi menjelang 2036 kami akan memperkenalkan kurikulum baharu, dan ia akan menjadi 50-50 penggunaan bahasa. Bermakna 50 peratus Bahasa Melayu dan 50 peratus lagi Bahasa Inggeris.
"Jadi ini sangat penting untuk mendedahkan anak-anak kita pada peringkat awal, terutamanya dalam penggunaan nilai lulus Bahasa Inggeris, untuk itu kita juga mempunyai pasukan petugas digital," katanya lagi.
Menyentuh berkenaan platform Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa), ia menunjukan perkembangan baik dalam usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) guru serta murid di sekolah.